top of page

1: Identiti Budaya & Keharmonian Agama

Pengenalan

Bidang dasar ini meliputi aspirasi rakyat untuk menggalakkan perpaduan nasional dan kesepaduan sosial. Cadangan di bawah mengambil inspirasi daripada beberapa cadangan terpilih yang terkandung di dalam laporan Majlis Perundingan Perpaduan Negara 2015. Semuanya mempunyai visi yang sama mengenai perpaduan dalam kepelbagaian, yang menegaskan, khususnya, kepelbagaian budaya dan bahasa sebagai aset negara.


I: Identiti Nasional & Keluhuran Perlembagaan yang Inklusif

Rakyat Malaysia secara amnya berbangga dalam mengekalkan hubungan mesra antara etnik dan antara agama; dan menghargai struktur negara yang berbilang budaya serta agama. Namun begitu, ketegangan antara kumpulan telah muncul di ruang awam dari masa ke semasa yang sering diburukkan oleh kumpulan berhaluan kanan yang menyebarkan wacana ketuanan agama atau kaum terhadap kelompok minoriti. Keadaan itu ditambah lagi dengan tahap pengetahuan perlembagaan masyarakat yang rendah dan perspektif sejarah berpaksikan Melayu dalam kurikulum subjek sejarah yang mengabaikan sumbangan golongan bukan Melayu. Keadaan ini perlu diperbetul berdasarkan identiti nasional yang terangkum dan penghormatan terhadap kedaulatan undang-undang untuk menggalakkan rasa saling menerima dan kekitaan di kalangan warganegara.


1. Mengintegrasi kecelikan perlembagaan dan menghormati hak individu lain ke dalam kurikulum persekolahan


Ajar ciri-ciri utama Perlembagaan Persekutuan di peringkat sekolah menengah, termasuk konteks dan semangat sejarah, yang memperkenalkan peruntukan-peruntukan penting. Memberi penghargaan terhadap kebebasan asas yang dijamin selaras dengan konsep kedaulatan undang-undang. Ini adalah bahagian penting dalam pendidikan sivik, yang harus diperkenalkan di sekolah memandangkan penurunan had umur mengundi.

(GBM; Kluster Harmoni, CSO Platform for Reform)


2. Mengubahsuai kurikulum sejarah dan buku teks bagi menggalakkan rasa kekitaan kebangsaan bersama.

Naratif buku teks pada masa ini menyebarkan tafsiran sejarah yang terlalu berpusat kepada Melayu dan mengandungi sedikit maklumat tentang kehadiran dan peranan orang bukan Melayu dalam pembangunan negara. Ketidakseimbangan ini menjadi batu penghalang kepada penghayatan terhadap sejarah kemajmukan sosial dan agama di Malaysia, dan sumbangan semua kumpulan etnik dan sosial kepada transformasi negara. Ini juga tidak memupuk penerimaan bersama semua kumpulan etnik dan persefahaman sejarah yang seimbang di kalangan mereka. Sejarah imigrasi sendiri harus disajikan secara positif, kerana Malaysia pada hari ini terbentuk melalui penghijrahan berterusan dan penerapan terpilih budaya luar.

(GBM, Kluster Harmoni, CSO Platform for Reform)


3. Mengadakan kempen pendidikan melalui saluran rasmi kerajaan untuk meningkatkan kecelikan perlembagaan dan mempopularkan naratif sejarah yang lebih inklusif.

Selain daripada sistem pendidikan yang formal, kerajaan juga harus menggunakan saluran rasminya—seperti program latihan untuk penjawat awam, Rukun Tetangga atau kepimpinan belia baharu—untuk mendidik orang ramai tentang tafsiran Perlembagaan Persekutuan yang tepat dan sejarah negara yang lebih inklusif.

(GBM, Kluster Harmoni, CSO Platform for Reform)


4. Mengkaji semula perundangan Syariah supaya selaras dengan Perlembagaan Persekutuan dan prinsip hak asasi manusia yang berkaitan.

Beberapa penghakiman mahkamah baru-baru ini telah mendapati undang-undang tertentu di peringkat negeri adalah ultra vires dan bercanggah dengan perlembagaan. Oleh itu, terdapat keperluan mendesak untuk melaksanakan kajian semula bagi mengenal pasti klausa yang bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan, dan melakukan pindaan yang perlu dalam perundangan Syariah negeri bukan sahaja berkaitan dengan prinsip keluhuran perlembagaan tetapi juga hak asasi manusia. Adalah amat mendesak terutamanya untuk mengkaji semula enakmen Kesalahan Jenayah Syariah negeri. Kerajaan harus bertegas di dalam memimpin dan melantik pemimpin yang dihormati agar dapat menggerakkan libat urus dengan pihak berkepentingan dan memperjuangkan wacana terbuka dan koheren mengenai pentadbiran undang-undang Islam berdasarkan keadilan, toleransi dan kesederhanaan.

(G25, Cadangan 1B-1)


5. Mengkaji dan menyemak keberkesanan Pelan Tindakan Perpaduan Nasional dan Rangka Tindakan Perpaduan Nasional, dan memperhalusinya secara berkala untuk memberi tumpuan kepada menggalakkan perpaduan nasional dan bukannya simbolisme semata.

Semakan terhadap Pelan Tindakan Perpaduan Nasional (NUAP) (2021–2030) dan Rangka Tindakan Perpaduan Nasional (RUB) (2021–2030) perlu dilakukan secara berkala dan memperkukuh kandungan dokumen ini untuk menangani isu yang menjejaskan perpaduan nasional dan kesepaduan sosial (contoh, diskriminasi kaum dan agama).

(Dato’ Stanley Isaacs, Cadangan 1A-1; Kluster Harmoni, CSO Platform for Reform, Cadangan 1A-2)


6. Mengembalikan fungsi Kementerian Perpaduan kepada fokus asalnya.

Kementerian Perpaduan dilihat secara umum sebagai hanya prihatin dengan menguruskan hal-hal orang bukan Islam sahaja. Peranan dan tanggungjawab kementerian mesti dirombak untuk memberi tumpuan kepada menggalakkan perpaduan nasional dan kesepaduan sosial di kalangan semua rakyat.

(Kluster Harmoni, CSO Platform for Reform, Cadangan 1A-3)



II: Penghormatan terhadap Martabat dan Keadilan Manusia


Satu dasar atau perundangan khusus yang menangani isu diskriminasi kaum dan perkauman di Malaysia adalah penting untuk memelihara masyarakat yang harmoni, rakyat pelbagai etnik dilayan dan dihormati secara sama rata dan boleh mengamalkan budaya dan agama mereka sendiri dengan bebas. Pada masa ini, tiada dasar atau undang-undang sedemikian. Sebaliknya, penyebaran dasar berasaskan perkauman dan agama dari masa ke semasa telah menyebabkan masyarakat kita yang dahulunya berbilang budaya menjadi semakin terasing dan berfikiran sempit; sebuah masyarakat di mana kumpulan minoriti sebahagian besarnya diketepikan daripada arus budaya, politik dan sosial arus perdana negara.


Cadangan-cadangan ini memberi tumpuan kepada usaha untuk mewujudkan rangka kerja dan dasar institusi-perundangan yang inklusif supaya setiap rakyat Malaysia tanpa mengira etnik, agama dan budaya dihormati dan diberi peluang yang saksama.


7. Tubuhkan Suruhanjaya Keharmonian dan Perdamaian Nasional.

Untuk menangani aduan mengenai diskriminasi atau fitnah kaum dan agama, sebuah badan berkanun bebas iaitu Suruhanjaya Keharmonian dan Perdamaian Nasional perlu ditubuhkan melalui perundangan khusus (cth., Akta Pemboleh atau Akta Anti Diskriminasi Menyeluruh). Suruhanjaya ini hendaklah mempunyai kuasa untuk menyiasat dan menjalankan siasatan nasional mengenai isu-isu tersebut. Antara tugasnya ialah menetapkan piawaian minimum terhadap diskriminasi kaum dan agama, dan mendidik orang ramai tentang hak mereka untuk keadilan, maruah dan kehormatan. Badan ini hendaklah menjadi titik hubungan penting bagi penggubal dasar, badan awam dan perniagaan.


(Kluster Harmoni, CSO Platform for Reform, Cadangan 1A-4; Badlishah Sham Baharin, GBM/IKRAM, Cadangan 1B-2; Goh You Ping, Cadangan, 1A-5; Dave, Cadangan 1A-6)


8. Semak dan rombak langkah tindakan afirmatif berasaskan kaum sedia ada.

Tindakan afirmatif berasaskan kaum selama beberapa dekad sejak pelaksanaan Dasar Ekonomi Baru telah berjaya mengubah keadaan sosio-ekonomi masyarakat Melayu dan, sedikit sebanyak, keadaan Orang Asal di Sabah dan Sarawak serta Orang Asli. Namun begitu, terdapat ketirisan dan penyalahgunaan dalam pengamalannya. Oleh itu kerajaan hendaklah:

  1. menilai dasar sedia ada dari segi keberkesanan dan kerelevenan penerusannya;

  2. beralih secara progresif daripada pendekatan berasaskan kaum kepada pendekatan berasaskan keperluan supaya dapat menyalurkan sumber yang terhad kepada mereka yang paling memerlukannya;

  3. mewujudkan dasar baharu tindakan afirmatif atas alasan yang inklusif, tanpa diskriminasi dan menyeru kepada rasa keadilan dan perpaduan di kalangan rakyat. Penekanan harus diberikan kepada program yang bertujuan membina daya tahan kumpulan sasaran dan bukannya mewujudkan kebergantungan atau mengukuhkan rasa berhak; dan

  4. menggalakkan pemahaman yang tepat dari segi aspek sejarah mengenai Perkara 153—peruntukan perlembagaan yang menjadi asas perundangan untuk dasar tersebut —sejajar dengan peruntukan lain seperti Perkara 8 mengenai layanan sama rata terhadap semua warganegara.


(Fanks, Cadangan 1A-7; Kluster Harmoni, CSO Platform for Reform, Cadangan 1A-8; Sharmacheng, Cadangan 1A-9; L., Cadangan 1A-10)


9. Melaksanakan dasar yang menggalakkan perwakilan yang pelbagai termasuklah wakil kumpulan minoriti dalam badan pembuat keputusan di semua peringkat kerajaan.

Hal ini harus dilakukan terutamanya dalam majlis tempatan, dalam peralihan daripada politik komunal kepada bukan komunal.

(Anusha Arumugam, Yayasan Tamil/Yayasan Pendidikan, Kebajikan & Penyelidikan Malaysia, Cadangan 1A-11)



III: Budaya & Bahasa Minoriti

Orang Asli/Asal yang tinggal di kawasan luar bandar tidak menikmati hasil pembangunan sosio-ekonomi dan insan daripada dasar tindakan afirmatif yang telah dilaksanakan berdekad lamanya untuk memartabatkan Bumiputera. Sebaliknya, bukan sahaja bahasa dan budaya mereka terjejas dengan pesat, mereka juga berdepan dengan juga konflik mengenai pemeliharaan tanah adat mereka, akibat pembalakan dan aktiviti pembangunan lain. Generasi seterusnya iaitu golongan belia juga jauh ketinggalan di belakang rakan-rakan yang berada di bandar dalam pencapaian pendidikan.


10. Menyediakan sokongan institusi kepada golongan minoriti Orang Asli/Asal untuk memelihara bahasa dan budaya serta meningkatkan prestasi akademik mereka.

Bahasa dan budaya adalah sebahagian daripada perkembangan holistik kanak-kanak, dan bahasa dan budaya Orang Asli/Asal harus diiktiraf sebagai sumber pendidikan dalam membangunkan kecelikan awal, harga diri, identiti dan kreativiti dalam pendidikan pra-sekolah. Ini akhirnya akan membantu merapatkan jurang pencapaian dalam kalangan minoriti Orang Asli/Asal, membantutkan penghakisan pesat bahasa dan budaya mereka, dan menyumbang kepada penguasaan bahasa Melayu dan Inggeris.

  1. Membangunkan dasar kebangsaan mengenai pendidikan berbilang bahasa berasaskan bahasa ibunda di mana bahasa ibunda adalah bahasa pengantar pilihan dalam pendidikan prasekolah, dan menggalakkan dasar kecelikan bahasa ibunda yang menggunakan bahasa ibunda sebagai bahasa pengajaran bagi kecelikan awal jika bersesuaian di kedua-dua prasekolah dan sekolah rendah, di samping memastikan kejayaan peralihan kepada bahasa Melayu dan Inggeris.

  2. Membiayai, melengkapkan, memantau dan menilai sekolah rendah rintis berasaskan bahasa ibunda di kawasan luar bandar dan Orang Asli/Asal melalui kerjasama dengan komuniti Orang Asli/Asal, persatuan bahasa, NGO dan universiti.

  3. Memperkukuh, mempromosi dan menyelidik setiap bahasa di Malaysia melalui kerjasama dengan komuniti Orang Asli/Asal, persatuan bahasa, NGO dan universiti.

(PACOS Trust & Kadazandusun Language Foundation)


11. Peruntukkan sumber yang mencukupi untuk pembangunan holistik Orang Asli/Asal.

Implement policies to safeguard the right of the indigenous peoples to their customary land, as their ancestral land is an integral part of their culture and way of life. Prepare and implement community development programmes in genuine consultation with the community.

Melaksanakan dasar untuk melindungi hak Orang Asli/Asal ke atas tanah adat mereka, kerana tanah nenek moyang mereka adalah sebahagian daripada budaya dan cara hidup mereka. Menyedia dan melaksanakan program pembangunan komuniti secara perundingan yang jujur dengan masyarakat Orang Asli/Asal.

(Kluster Harmoni, CSO Platform for Reform, Cadangan 1A-8; Sabah Reform Initiative, Cadangan 1A-12)


IV: Kewarganegaraan Inklusif & Demokratik

Selain daripada rangka kerja inklusif dan tanpa diskriminasi untuk pembinaan negara, kerjasama dan ketertiban warganegara adalah penentu penting kesepaduan sosial dalam masyarakat yang pelbagai budaya dan agama. Oleh itu, pendidikan kewarganegaraan adalah penting untuk memupuk identiti sivik yang bertanggungjawab yang komited untuk mempromosikan kebaikan bersama dan memastikan pihak berkuasa dalam politik bertanggungjawab melalui proses demokrasi.


12. Perkukuh pendidikan kewarganegaraan demokratik di sekolah.

Langkah-langkah berikut menjadi lebih penting memandangkan penurunan had umur mengundi dan peningkatan drastik jumlah pengundi muda:

  1. Meningkatkan kecelikan politik dan kematangan generasi muda bagi penglibatan demokrasi berdasarkan hak dan tanggungjawab seorang warganegara.

  2. Memberi pengetahuan holistik dan seimbang mengenai Perlembagaan Persekutuan dan sejarah Malaysia.

  3. Melatih guru untuk menghapuskan prasangka perkauman, dan menerapkan perkara yang sama dalam diri pelajar dalam setiap aspek kehidupan di sekolah.

  4. Memupuk budaya dan amalan dialog dan rundingan, serta meningkatkan kapasiti untuk libat urus secara kritis dan inklusif.

(GBM; Dato’ Stanley Isaacs, Cadangan 1A-1)


Kata-kata Penutup

12 pelan tindakan utama ini, walaupun tidak menyeluruh, menekankan mengenai keperluan pengiktirafan yang lebih baik untuk semua kumpulan etnik di Malaysia, termasuklah tindakan oleh kerajaan yang memberi kesan jangka panjang dan substantif dalam memelihara dan melindungi hak minoriti dan merapatkan jurang perpecahan sosial. Pelan-pelan ini memerlukan komitmen jangka panjang oleh negara untuk merangka dasar-dasar bagi menjadikan perpaduan negara lebih mampan dan kesepaduan sosial lebih berdaya tahan. Kerajaan yang memerintah mesti bertanggungjawab untuk memperkasa agenda perpaduan dan kenegaraan yang inklusif.



Please fill in all the fields
Sorry You have alreadry submitted your data
Please fill in all the fields
Index
First Name
Last Name
Organisation
Submission Date
1
Swee Lin
Loh
Individual
28/09/2022
bottom of page