1/1

2d: Belia


Pengenalan

Bidang dasar ini berakar daripada kepercayaan dan harapan yang teguh untuk belia negara sebagai pemimpin masa depan. Dasar ini memberi tumpuan kepada mewujudkan persekitaran yang membolehkan belia Malaysia mencapai perwakilan politik yang lebih besar, selepas beberapa dekad kurang diwakili dalam institusi politik. Pada masa yang sama, bidang dasar ini juga menganjurkan pembaharuan pendidikan untuk membantu meningkatkan kesedaran politik di kalangan belia dan menggalakkan mereka berfikir secara kritis dan bebas tentang budaya, ideologi dan isu politik, dengan melengkapkan mereka dengan pemahaman politik dan proses politik melalui pendidikan formal.

Sebagai pewaris masa depan negara, golongan muda secara langsung dipengaruhi oleh keputusan politik dan tindakan yang diambil di Parlimen, baik dari segi peruntukan dan pengagihan sumber negara, dan sejauh mana sumber ini dibangunkan secara mampan. Boleh dikatakan bahawa golongan belia, berbanding ahli politik yang lebih tua, mempunyai kepentingan yang lebih besar dalam penggubalan dasar, kerana mereka mempunyai lebih banyak masa dan akan melihat kesan mutlak dasar ini mengakar pada tahun-tahun mendatang. Oleh itu, adalah penting bagi golongan muda untuk mengukuhkan kehadiran dalam kerajaan dan terlibat dalam penggubalan dasar sosial dan ekonomi, bagi memastikan keperluan generasi sekarang dipenuhi tanpa menjejaskan kesejahteraan generasi akan datang.

I: Penyertaan Politik Belia

Di Malaysia, penglibatan politik belia sangat dibatasi oleh AUKU. Seksyen 15 AUKU, yang dikuatkuasakan pada kemuncak aktivisme belia pada tahun 1975, melarang pelajar daripada menjadi ahli kumpulan politik dan mengambil bahagian dalam aktiviti parti politik di kampus. Larangan ini diperkukuh oleh Seksyen 16, yang memberi kuasa kepada naib canselor untuk mengambil tindakan tatatertib dalaman terhadap pelajar yang didapati terlibat dalam aktiviti politik. Mereka yang berani mencabar undang-undang dan mengeluarkan perspektif kritikal biasanya berdepan dengan hukuman berat, termasuk penggantungan atau pengusiran oleh pihak berkuasa universiti.

Peruntukan ketat AUKU menghalang belia daripada bertindak dan terlibat dalam proses politik. Secara tidak langsung, ini telah membawa kepada diskriminasi umur dalam persekitaran politik. Pada tahun 2019, perwakilan belia Malaysia di parlimen hanya 12% daripada sekumpulan 222 ahli Parlimen (AP), manakala di seluruh dunia mempunyai purata perwakilan belia sebanyak 14.2%. Yang amat membimbangkan lagi adalah, sejak itu peratusan ini hampir tidak meningkat. Kadar penyertaan belia yang rendah dalam politik mungkin menjadi sebab penting mengapa kebanyakan ahli politik yang lebih tua terus mendominasi landskap politik walaupun telah berkhidmat untuk tempoh yang lama, sesetengahnya pula sehingga beberapa dekad. Sehingga 2018, umur median Ahli Parlimen Malaysia ialah 55.5 tahun, dan ini mencerminkan bahagian yang tidak seimbang dalam perwakilan umur yang condong ke arah aktor politik yang pertengahan umur hingga yang lebih berusia. Landskap politik akan semakin membeku jika suara yang sama berlarutan dan laluan kepada kohort muda aktor politik tidak diberikan.

1. Mansuhkan AUKU dan gantikannya dengan undang-undang yang lebih menyeluruh untuk memulihkan kebebasan akademik.

Undang-undang baharu itu harus memupuk asas institusi dan undang-undang untuk pelajar menyatakan sepenuhnya hak politik mereka.

(University of Malaya New Youth (UMANY), Cadangan 2D-1 & Mesyuarat Dasar Dialog Awam)

2. Pinda undang-undang seperti Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 untuk menurunkan syarat umur calon dan mengenakan kuota berkaitan umur untuk meningkatkan peratusan calon yang lebih muda.

Peruntukan sedemikian akan membantu meningkatkan penampilan ahli politik yang lebih muda di parlimen, dan mengurangkan kehadiran dominan ahli politik pertengahan umur kepada warga emas, sekali gus mengalihkan landskap politik ke arah komposisi yang lebih seimbang.

(Lew Guan Xi, Cadangan 2D-2)

II: Celik Politik

Bagi menyediakan golongan muda untuk memenuhi peranan mereka sebagai rakyat dewasa dalam sebuah negara berdemokrasi, adalah penting untuk melengkapkan mereka sedari peringkat awal dengan pengetahuan dan pemahaman mengenai politik dan cara untuk mengambil bahagian dalam proses politik. Sekolah adalah platform penting untuk mereka mengakses sumber yang diperlukan untuk menjadi celik politik.

Malangnya, kecelikan politik merupakan satu aspek yang telah diabaikan dalam sistem pendidikan formal kita selama beberapa dekad. Sukatan pelajaran semasa, yang lebih menumpukan kepada sejarah politik daripada aspek asas masyarakat demokratik, tidak banyak memupuk kesedaran politik, malah tidak melatih pelajar untuk berfikir secara kritis dan bebas tentang isu politik dan sosial. Seolah-olah politik adalah topik tabu dan sesuatu yang tidak sepatutnya dibincangkan dalam bidang pendidikan.

3. Masukkan kecelikan politik ke dalam kurikulum pendidikan negara.

(Lew Guan Xi, Cadangan 2D-2)

Sewaktu penulisan ini, "Undi 18", iaitu, cadangan pendaftaran pengundi automatik dan menurunkan had umur layak untuk bertanding dalam pilihan raya, telah diwartakan oleh Parlimen dan mula berkuat kuasa, membuka laluan kepada anggaran lima juta belia didaftarkan sebagai pengundi kali pertama dalam senarai pengundi menjelang pilihan raya umum akan datang. Bagi mempersiapkan mereka untuk memulakan penglibatan mereka dengan proses politik, sukatan pelajaran sekolah awam kebangsaan harus dirombak untuk meningkatkan kesedaran politik di kalangan belia.

  1. Dalam jangka pendek, Kementerian Pendidikan boleh mengembangkan dan menambah baik sukatan pelajaran sejarah dan pengajian sivik sedia ada untuk menjadi sumber yang lebih amali dan praktikal untuk celik politik. Penggubal silabus pendidikan harus menumpukan pada mewujudkan lebih banyak ruang untuk pelajar bebas berdebat dan terlibat dengan isu dan naratif politik.

  2. Pembaharuan jangka panjang harus melibatkan pembangunan sukatan pelajaran "kewarganegaraan" yang menyeluruh yang diajar kepada pelajar secara kritis dan seimbang yang membolehkan belia membentuk pendapat mereka sendiri, termasuk mengkritik, menyoal dan mencabar kepimpinan hari ini.

Kata-kata Penutup

Di negara yang hampir 30% penduduknya terdiri daripada belia (15–30 tahun), perwakilan daripada ahli politik muda adalah penting untuk menggerakkan dasar yang bertindak balas terhadap keperluan khusus generasi muda. Lebih-lebih lagi, belia adalah pemimpin masa depan dan suar harapan dalam landskap politik yang bercanggah dan retak. Suara mereka mesti didengari dan diwakili secukupnya dalam dewan perwakilan, untuk menyangkal ideologi lama dan meletihkan dan memastikan kepimpinan yang tidak bermaya atau bermasalah agar berwaspada.

Cadangan pembaharuan dasar ini memerlukan pengukuhan belia dalam penyertaan politik belia dan parlimen ke arah sebuah kerajaan yang berkesan. Ia menyokong pemerkasaan hak politik belia melalui pencapaian reformasi sistematik seperti pemansuhan undang-undang yang menindas dan pendidikan sivik secarayang terancang yang memperkasa, mendidik dan menyediakan pelajar untuk muncul sebagai orang dewasa muda yang berfikiran terbuka, progresif, mampu meminjamkan suara dan perspektif mereka kepada isu-isu politik yang bermakna dan berkaitan langsung untuk kehidupan mereka sendiri.



Please fill in all the fields
Sorry You have alreadry submitted your data
Please fill in all the fields
Index
First Name
Last Name
Organisation
Submission Date